31 Mei 2010

SAMBUTAN PASCA GAWAI SK MUTON 2010

RATU KEBAYA...


Encik Jamali mencabut tiket bertuah.

Debak, 28 Mei 2010. Tarikh 26 Mei 2010 telah dipilih bagi merayakan sambutan Pasca Gawai 2010 peringkat sekolah SK Muton Debak. Beberapa aktiviti telah dijalankan dalam pengisian acara sambutan tersebut.

Program bermula dengan Sukaneka untuk murid-murid sekolah berkenaan dan pada sebelah petangnya diteruskan dengan sukaneka untuk PIBG dimana ibubapa dan kakitangan sekolah terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Sambutan dimeriahkan dengan majlis Makan Malam. Sebanyak 15 buah meja telah dihadkan untuk PIBG dan staf sekolah. Dalam majlis tersebut beberapa pengisian aktiviti telah dilangsungkan. Antaranya ialah Pertandingan Ratu kebaya dan Pertandingan Karaoke untuk PIBG.

Seramai 5 finalis Ratu Kebaya telah berebut dalam majlis berkenaan. Johan telah disandang oleh Puan Rendung ak Emparan, Naib Johan Puan Catherine Amoi anak Dawa dan ketiga Cik Selimah anak Meling.

Pertandingan Karaoke turut di sertai 5 orang finalis. Dimana pada sebelah siangnya saringan telah dilakukan bagi mencari finalis pada sebelah malamnya.

Johan untuk karaoke pada malam itu ialah Saudari Jenun, Naib Johan Saudara Chuat Siu dan ditempat ketiga Saudari Catherine Sangan.

Hadiah berbentuk hamper menjadi rebutan para peserta pada malam itu turut disampaikan oleh Guru Besar SK Muton Debak Encik Jamali bin Seman.

Terdahulu semasa ucapan perasmian majlis berkenaan, Jamali menyeru kepada para ibubapa yang hadir pada malam itu, agar sentiasa memberi kerjasama dan sokongan padu pada pihak sekolah dalam usaha membantu menaikkan imej dan prestasi sekolah.

“Kita perlu transformasi pemikiran kita untuk terus maju dan berusaha menaikkan prestasi sekolah serta menjaga imej agar ianya tidak terus dibelenggu dengan keputusan yang kurang memberangsangkan sebelum ini. Kita berharap pada tahun ini kita akan dapat memperolehi sesuatu yang dapat dibanggakan. Pihak sekolah telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mempastikan pembelajaran anak-anak tuan puan bukan hanya untuk mengenal huruf tetapi keputusan yang terbaik dan dibanggakan oleh semua pihak”. Kata Jamali ketika merasmikan majlis makan malam tersebut.

“Saya mahu ibubapa mengambil berat tentang pembelajaran anak-anak tuan puan dan sentiasa mempastikan anak tuan puan mengikuti kelas pembelajaran formal dan kelas-kelas tambahan yang telah dirancang bagi kemajuan pembelajaran mereka”. Tambah beliau.

Sambutan Gawai berakhir dengan diserikan dengan pemberian hadiah kepada pemenang Teka Gula-gula dan debaran berakhir dengan hadiah hamper untuk pemenang bertuah dalam Cabutan Tiket Bertuah.

20 Mei 2010

SK MUTON MENJAYAKAN HARI GURU 2010

SELAMAT HARI GURU... para guru memotong kek Hari Guru sempena majlis tersebut


Debak, 17 Mei 2010 (Isnin). SK Muton Debak telah mengadakan majlis sambutan Perayaan Hari Guru peringkat sekolah berkenaan hari ini.

Majlis ringkas tetapi penuh bermakna itu telah dimulakan dengan ucapan oleh Guru Besar Encik Jamali bin Seman dan beliau juga telah membaca teks perutusan Hari Guru oleh Menteri Pelajaran Malaysia. Terdahulu dalam ucapan dasarnya beliau menyeru semua guru-guru disekolah itu supaya sentiasa mengamalkan budaya kerja yang positif dan cemerlang di dalam melaksanakan tugasan harian sebagai seorang pendidik.

“ Terima kasih di atas usaha gigih semua guru dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah. Berfikiran positif dalam usaha menjayakan tranformasi diri dan meningkatkan penjanaan pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagaimana seruan perdana menteri”. Jelas beliau.

“Tujuan kita mengadakan majlis ini sebagai pendedahan kepada murid-murid maksud hari guru. Supaya murid-murid menghargai jasa guru yang selama ini telah mendidik mereka. Pelajar juga berpeluang untuk meluahkan perasaan, pengertian dan ungkapan melalui luahan yang mereka persembahkan dalam apa jua cara mereka sendiri”.

“bertepatan dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ saya berharap sebagai 'role model’ guru akan terus bersemangat dan beriltizam dan memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar yang diberikan”. Tambah beliau.

Meneruskan majlis berkenaan, Encik Gayan anak Sango Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu juga telah membaca perutusan Hari Guru daripada Pengarah Pelajaran Malaysia bagi menyampaikan secara terus kepada semua guru dan pelajar.

Memetik ucapan beliau “Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi’.

“Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan. Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan Negara”

Majlis lebih bermakna dan berseri apabila acara memotong kek Hari Guru oleh semua guru turut diadakan. Terdahulu Jamali berkesempatan memberi cenderahati sebagai tanda terima kasih kepada semua guru-guru.

Murid-murid juga diberi ruang untuk menjayakan majlis ini apabila pelajar diberi kesempatan untuk membuat persembahan mengikut kelas masing-masing.

Suasana ceria bertukar hiba apabila murid-murid yang membuat persembahan menghayati pengertian sebenar pengorbanan insan yang bernama guru. Ada yang menangis sebak tidak kurang ada yang hanya tersengih.

       
TERIMA KASIH CIKGU.. murid-murid memberi hadiah kepada guru besar



Sebelum majlis berakhir, semua pelajar dijemput bersalaman dengan semua guru dan ada juga yang memberi cenderahati kepada guru-guru mereka.

Jamuan makan tengahari bersama guru turut diadakan pada akhir majlis berkenaan.

14 Mei 2010

VISI DAN MISI

VISI
Mencapai Tahap Prestasi Cemerlang.


MISI
Memastikan pelajar Sekolah Kebangsaan Muton Cemerlang Dalam Bidang Akademik Dan Kokurikulum serta berdisiplin


MOTTO
Berilmu, Berdisiplin


SLOGAN
"Sekolah Diutamakan, Pencapaian Ditunjukkan"


MATLAMAT
* Memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan secara menyeluruh.
* Mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
* Memastikan setiap murid berdisiplin, berakhlak mulia dan berbudi pekerti.
* Memupuk suasana harmoni di semua peringkat yang melibatkan guru, ibubapa, kakitangan dan pelajar.
* Memastikan persekitaran pembelajaran, bersih, ceria dan selamat.


LOGO SEKOLAH


PENGERTIAN LOGO


SEGI LAPAN (DI TENGAH)   
Melambangkan asal 8 buah rumah panjang dikawasan Muton.

BULATAN SEPARA (ATAS DAN BAWAH)  
Dunia yang penuh cabaran disekelilingnya.

PENSEL DAN JANGKA LUKIS DIGABUNGKAN BERSAMA KOMPUTER  
Melambangkan pengertian ICT dan multimedia telah wujud.disini.

WARNA BIRU 
Warna jabatan. Melambangkan kemesraan dikalangan warga sekolah.

WARNA MERAH  
Berani, tegas dan matang dalam menghadapi cabaran.

WARNA KUNING 
Melambangkan kemegahan dan perpaduan yang sentiasa diamalkan.

WARNA HIJAU  
Kesegaran yang terpelihara.

WARNA PUTIH  
Melambangkan kebersihan yang sentiasa dijaga.

SENARAI GURU BESAR SK MUTON DEBAK

1. ENCIK JONATHAN ENSUIL                                     
Januari 1963 – 05.03.1965


2. ENCIK HENRY BELON                                              
06.03.1965 – 19.04.1966


3. ENCIK ANDREW JAWAN                                         
20.04.1966 – 1969


4. ENCIK LUTA                                                               
1969 – 1972


5. ENCIK MICHAEL SUBAT                                         
1972 – 1975


6. ENCIK AMBANG                                                       
1975 – 1977


7. ENCIK EDMUND ENGKARING                               
1977 – 1982


8. ENCIK JAMES TUTONG                                          
1982 – 1989


9. ENCIK JONATHAN ANGGA NGELAI                     
01.12.1989 – 27.05.1994


10. PUAN JENAP BINTI HJ MOS                                                     
28.05.1994 – 05.11.2002


11. PUAN HJH HAMISAH BINTI AHMAD                                     
06.11.2002 – 05.06.2008


12.  ENCIK JAMALI BIN SEMAN                                 
06.06.2008 – 07.01.2012

13.   FADREEN JINGAN ANAK BERIAK
08.01.2012 - 16.10.2017 

14.   BULIA ANAK SIGAN
17.10.2017 - SEKARANG 

PETA DAN LOKASI SK MUTON, DEBAK



 PETA LOKASI SK MUTON DEBAK





 
PELAN SEKOLAH SK MUTON DEBAK

SEJARAH TUBUH SK MUTON, DEBAK

Pada Januari 1963, SRK Muton, Debak telah di tubuhkan. Pada asal penempatannya SRK Muton, Debak terletak di Munggu Sabut di kawasan Muton, Debak. Disebabkan betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan maka penduduk di kawasan tersebut yang terdiri daripada 8 buah rumah panjang (Muton Munggu Ruan, Muton Asal, Muton Kara, Muton Baru, Kenarang, Meregang, munggu Ruan dan Batu Lapan) bersepakat dan bergotong-royong mendirikan bangunan sebagai tempat anak-anak mereka memulakan persekolahan. Mereka juga bersatu hati untuk sama-sama mendermakan beras dan bahan makanan kepada pengurus sekolah sebagai makanan anak-anak mereka. Sumbangan yang diberikan pada setiap masa oleh penduduk-penduduk dikawasan tersebut lebih memberi perangsang kepada Encik Jonathan Ensuil yang ketika itu dilantik menjadi guru besar bersama beberapa orang guru yang lain mengajar anak-anak dikawasan itu.

Merasakan kawasan sekolah yang agak jauh dan sukar untuk penduduk di beberapa buah rumah panjang yang lain menghantar anak-anak mereka bersekolah maka pada tahun 1977 Encik Edmund Engkaring yang menjadi guru besar pada ketika itu telah berunding bersama pihak PIBG sekolah untuk mencari penempatan yang baru dan pada masa yang sama mereka telah berunding dengan Encik Linggir anak Nyaring untuk menjual tanah miliknya sebagai tapak sekolah yang baru. Setelah berbincang dengan pegawai pelajaran daerah dan bahagian ketika itu maka penempatan yang baru telah dipersetujui dengan pembelian tapak yang berharga RM 200.00. Pada tanggal 24 Jun 1977, SRK Muton sekali lagi telah dipindahkan ke kawasan yang baru. Kawasan tersebut lebih dekat dan mudah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah memandangkan kawasan itu berdekatan dengan jalan raya. Sejak itu SRK Muton kekal di tapak berkenaan sehingga sekarang.

(Sumber dan maklumat daripada PIBG SK Muton dan di tulis oleh Saleman bin Senin)

TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI..



PENGUNJUNG YANG DIHORMATI...
TERIMA KASIH KERANA SUDI MENJENGUK BLOG KAMI. APA YANG KAMI PAPARKAN DISINI HANYALAH SEKADAR PERKONGSIAN UNTUK SEMUA. 
TERIMA KASIH